info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Tidak Akan Ada Undi Tidak Percaya Pada Persidangan Parlimen – Noh Omar

80views

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Persidangan Parlimen perlu dilakukan segera bagi memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan isu berkaitan negara terutama dalam menangani penularan wabak COVID-19, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar.

Jelas beliau, sebagai ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat adalah menjadi tanggungjawab dirinya dan wakil rakyat yang lain untuk membawa suara rakyat agar permasalahan yang dihadapi mereka dapat ditangani.

“Dalam hal ini, beri peluang kepada kami sebagai ahli Parlimen untuk memberikan pandangan kami bagaimana hendak membuat teguran dan lain-lain, sebab kita hendak tolong ini.

“Saya ini orang kerajaan… hendak tolong kerajaan. Bagaimana kerajaan hendak tahu mereka buat betul atau tidak betul? Yang inilah peranan kami semua ini sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Wajarkah Parlimen Bersidang?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online yang turut menampilkan panel Pengamal Undang-undang, Dr Shamsher Singh Thind.

Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor berkata pada waktu yang kritikal ini sepatutnya agenda yang bersifat politik harus diketepikan demi menjaga kemaslahatan rakyat dan negara.

Katanya, rakyat melihat setiap gerak-geri ahli Parlimen yang hanya bersikap mementingkan manfaat sendiri berbanding memperjuangkan nasib rakyat.

“Ketepikan politik kerana saya percaya dan yakin mana-mana ahli Parlimen yang cuba hendak menjatuhkan kerajaan dalam suasana rakyat sedang menderita sekarang ini saya percaya rakyat akan maki dia, rakyat akan hamun dia.

“Rakyat tidak akan beri sokongan kepada ahli Parlimen yang sengaja hendak menimbulkan huru-hara lagi dalam negara kita yang ketika berada dalam tertekan.

“Jangan takut tidak akan berlaku undi tidak percaya saya yakin, tapi kalau ada sesiapa yang hendak buat undi ini rakyat akan marah, gila ke ahli Parlimen ini orang tengah sibuk COVID-19,” tegas beliau.

Beliau juga percaya bahawa ahli Parlimen semestinya mengambil teladan daripada insiden yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menjadi punca kepada peningkatan angka penularan wabak ini.

“Kita sebagai orang politik tengok bila ada pilihan raya bermula di Sabah ini kesannya. Saya percaya ahli politik sudah matang bagi saya sebagai ahli Parlimen saya tidak fikir pasal politik ini,

“Saya fikir bagaimana hendak selamatkan negara kita ini, bagaimana hendak menolong rakyat Malaysia ini untuk kita sama-sama mengatasi masalah COVID-19 ini sebab musuh yang kita hendak lawan ini musuh yang kita tidak nampak,

“Kita hendak berperang ini tapi kita tidak nampak musuh kita ini, tiba-tiba sahaja sudah kena kerana wabak ini sangat merbahaya,” katanya. – UMNO Online