Berita

Tidak pakai pelitup muka, empat lelaki dikompaun

164views

KUANTAN, 20 Mei — Empat lelaki tempatan masing-masing dikompaun RM1,500, kerana tidak memakai pelitup muka di kawasan perindustrian Jalan Lama Bentong menghala Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 18 hingga 55 tahun itu, didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota kereta peronda polis yang membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira pukul 10.50 pagi tadi.

“Keempat-empat lelaki tersebut masing-masing dengan sengaja tidak memakai pelitup muka dan memberi pelbagai alasan tidak berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Justeru beliau berkata, kompaun telah dikeluarkan kepada mereka di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021.

— BERNAMA

Source link