info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tidak Patuh SOP, Polis Selesai Siasat Annuar Musa

56views

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Polis mengesahkan kertas siasatan berhubung kes Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan seterusnya selepas siasatan mengenainya selesai dilakukan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, enggan mengulas ketika ditanya mengenai kritikan beberapa pihak yang mempersoalkan mengapa Annuar tidak dikompaun seperti pesalah lain yang ingkar PKP.

“Siasatan sudah lengkap dan kertas siasatan sudah dihantar ke Bukit Aman untuk arahan lanjut,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Annuar selesai memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan tidak mematuhi SOP ketika menghadiri majlis baru-baru ini.

Sebelum ini, gambar Annuar bersama beberapa individu duduk di sebuah meja menikmati jamuan tular dalam media sosial.

Difahamkan, polis juga sudah memanggil penganjur majlis berkenaan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Saiful Azly berkata, siasatan ke atas anggota polis yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita ketika sekatan jalan raya di Jalan Duta, baru-baru ini, sudah selesai.

“Kertas siasatan bagi kes itu juga sudah lengkap dan dihantar ke Bukit Aman (minggu ini) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Wanita dikenali sebagai Sabiyusof yang dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju, mendakwa ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Duta, di sini.

Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang daripada anggota polis bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut mendakwa tidak akan disaman jika dia menunjukkannya.

Source Link