info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tidak Perlu Persidangan Parlimen, Jawatankuasa Khas Bebas Memadai

78views

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Persidangan Parlimen seperti dituntut segelintir pihak tidak perlu diadakan kerana Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan memadai untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Biro Perlembagaan dan Undang-Undang Majlis Perundingan Melayu, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata Jawatankuasa Khas Bebas boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam apa sahaja perkara mengancam keselamatan, berkaitan kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat.

Sebagai contoh, katanya, jawatankuasa terbabit berhak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk segera mengarahkan bank memberikan moratorium kepada rakyat.

“Jika Tuanku perkenan moratorium ini dilaksanakan, pihak bank perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan moratorium ini.

“Begitu juga isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tak perlu kita berbahas di Parlimen, hanya perkenan Yang di-Pertuan Agong memadai untuk mengeluarkan satu undang-undang bahawa pengeluaran KWSP dibenarkan (tanpa syarat) serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi webinar bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?’ anjuran Gerakan Pembela Ummah, hari ini.

Mohd Khairul Azam menegaskan, persidangan Parlimen tidak perlu diadakan ketika ini kerana negara memerlukan seorang ‘komander’ yang boleh menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan tiada lagi ancaman keselamatan dalam negara.

“Tidak perlu buat sibuk hanya nak memastikan individu itu relevan kepada rakyat kerana apabila Parlimen bersidang, kerusi dalam Parlimen pun kosong, dakwa Parlimen terlalu sejuk dan bermacam alasan.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong tidak memanggil sidang Parlimen, mereka bising. Apabila Parlimen bersidang, tak hadir dan jika hadir, bergaduh macam kanak-kanak.

“Oleh itu, kita tidak memerlukan sidang Parlimen sedemikian buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pelaksanaan darurat membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan rakyat dan negara akibat COVID-19.

“Darurat membolehkan rakyat berada dalam keadaan lebih selamat kerana ada jaminan tidak akan ada pilihan raya dalam tempoh ini.

“Berdasarkan kajian antarabangsa, malah ada lebih 60 negara menangguhkan pilihan raya akibat COVID-19 antaranya Australia, Jerman dan United Kingdom (UK), jadi bukan Malaysia sahaja.

“Ini menggambarkan penangguhan (pilihan raya) ini adalah sesuatu yang perlu dibuat,” katanya.

Source Link