info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Tiga langkah fiskal strategik untuk bantu PKS

40views

KUALA LUMPUR, 3 Nov  — Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada hari Jumaat ini, Sage Asia telah mencadangkan tiga langkah fiskal strategik untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta negara.

Pembekal perisian perakaunan dan pengurusan perniagaan terkemuka untuk PKS itu percaya bahawa langkah-langkah tersebut akan membantu kerajaan dalam komitmennya untuk mempercepatkan pemulihan negara menerusi penggunaan teknologi digital.

Ia menggariskan tiga tindakan iaitu yang pertama ialah program inkubasi intensif untuk PKS, kedua adalah rangsangan untuk mendorong pembayaran secara digital dan ketiga, platform untuk ekonomi gig untuk membantu segmen pengangguran.

Ketua bahagian syarikat pemula niaga dan perniagaan kecil Sage Asia, Azlan Ahmad berkata program inkubasi terbukti sangat berkesan untuk pasaran Asia lain dalam proses pendigitalan mereka.

Beliau berkata PKS yang mempunyai kedai fizikal mendapati bantuan berkaitan proses pendigitalan adalah penting sekiranya mahu menjalankan urus niaga secara dalam talian.

“Pemilik perniagaan lazimnya tidak memiliki pengetahuan mengenai bagaimana untuk memanfaatkan potensi e-dagang dengan berkesan. Program inkubasi sangat berguna bagi melengkapkan PKS dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam strategi menjalankan perniagaan  dalam talian.

“Kami mencadangkan inkubator khusus untuk PKS dan pemilik perniagaan kecil pada proses pendigitalan mereka yang seterusnya. Bimbingan mengenai apa, bila dan bagaimana untuk terus memanfaatkan teknologi akan menjadi asas yang kuat bagi mereka untuk meneruskan proses pendigitalan mereka pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Azlan berkata pendanaan untuk program tersebut diperlukan untuk menggerakkan sumber-sumber seperti lesen perisian, perundingan pakar industri, pusat bantuan, panduan pengguna yang komprehensif, pusat latihan, sokongan rakan niaga dalam teknologi dan portal untuk sokongan rakan yang terlibat dalam bidang yang sama.

Langkah kedua adalah untuk lebih mengoptimumkan platform e-dagang dan perbelanjaan sangat penting memandangkan keadaan ekonomi sekarang, katanya.

Mempercepatkan penggunaan e-dompet akan mengekang penyebaran jangkitan COVID-19 susulan daripada pengurangan penggunaan wang tunai, katanya.

“Peningkatan penggunaan pembayaran digital juga mempercepatkan urusan perniagaan untuk mendapatkan invois e-pembayaran  dengan segera. Pada waktu sukar ketika ini, ia akan menghasilkan aliran tunai yang lancar yang penting bagi kelangsungan perniagaan,” katanya.

Selain itu, pembayaran digital dapat mendorong perniagaan tempatan berkembang di luar negara dengan membolehkan mereka menjalankan perdagangan secara digital secara meluas, katanya.

Mengenai langkah ketiga yang berkaitan dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat dan peningkatan tenaga kerja yang tidak digunakan, Sage Asia berkata kerajaan dapat menangani keadaan itu dengan mendorong serta membiayai sebuah portal khusus untuk membangunan ekonomi gig.

Katanya portal itu boleh terdiri daripada pekerja bebas, pekerja berasaskan projek, kontraktor bebas dan juga pekerja sambilan.

“Ini akan menjadi sebuah sistem pasaran bebas, kedudukan sementara oleh industri atau kemahiran dapat disediakan. Perniagaan yang menghadapai kesukaran akan mendapat banyak faedah kerana ia dapat mengurangkan overhed buruh melibatkan pekerja sepenuh masa dan membolehkan penganggur mencari pekerjaan dengan pantas,” kata Azlan.

Walaupun platform yang sama kini tersedia, beliau berkata ia belum menjadi arus perdana iaitu platform utama atau menjadi topik perbualan harian.

“Apabila moratorium berakhir, tekanan untuk mencari pekerjaan dan pendapatan semakin meningkat, ini adalah masa yang paling sesuai untuk menghubungkan perniagaan dengan ‘tenaga kerja gig’ dan membolehkan penyediaan pekerjaan dan pendapatan berterusan bagi mereka,” katanya.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Agenda yang diperjuangkan oleh kerajaan itu dapat sangat membantu tenaga kerja kembali meningkatkan produktiviti dan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi negara.

“Sage sebagai sebuah syarikat swasta, bersemangat untuk memainkan peranan dalam menyokong ekosistem. Kami mahu membantu perniagaan memanfaatkan teknologi yang terus berkembang untuk lebih bersedia sekiranya menghadapi gangguan serta merebut peluang yang tidak dijangka,” katanya.

— BERNAMA

Source link