Berita

Tiga Lelaki Ditahan Disyaki Ceroboh Hutan Simpan Bubu

124views

IPOH, 19 Jun — Tiga lelaki ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Bubu yang terletak dalam daerah Hutan Kinta dan Manjung, hari ini.

Menurut Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam kenyataan, kesemua lelaki tersebut ditahan pasukan penguat kuasa yang menjalankan rondaan bagi mengesan sebarang aktiviti pencerobohan hutan dan penerokaan haram sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Semasa rondaan sedang dibuat kira-kira 9 pagi tadi, pasukan penguat kuasa telah menemukan tiga individu sedang mengambil hasil buah sawit yang mana telah dijalankan penanaman kelapa sawit melalui aktiviti penerokaan secara haram di Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.

“Dalam serbuan tersebut,  pasukan penguat kuasa turut menemukan sebuah lori muatan tiga tan, sebuah motosikal, dua batang besi loading sawit, sebatang cangkuk sawit dan sebilah parang panjang yang digunakan untuk mengeluarkan hasil sawit tersebut,” menurut kenyatan itu.

Menurut JPNPk, ketiga-tiga individu berumur 19, 22 dan 49 tahun itu telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut dan telah dilepaskan dengan bon jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

“Kes ini disiasat lanjut oleh pegawai penyiasat JPNPk dan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 81(1)(g) Enakmen Akta Perhutanan Negara  1984 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Source link