Tiga nama disebut-sebut akan cabar Zahid?

Respons terbaru Presiden Umno Malaysia sekaligus melambangkan Umno terbuka dan demokratik.

KUALA LUMPUR, 6 Jan. – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa beliau sedia dicabar untuk jawatan presiden parti dalam Pemilihan Agung Umno (PAU) akan datang.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata demikian selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Seri Lestari di sini semalam (5 Januari 2022).

Menurutnya pada PAU 2018 pun, beliau dipilih menjadi Presiden Umno selepas menerima saingan daripada veteran parti, YM Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

“Dulu pun saya dicabar juga, dua orang cabar saya dan undi mereka masih belum sama dengan undi yang saya peroleh.

“Bukan riak, bukan sombong dan takabur mahupun ujub tapi itu terbukti pada 2018.

“Malah kombinasi undi kedua-duanya sangat kurang berbanding undi saya,” jelasnya dipetik dari sumber portal berita Astro Awani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.

“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak kepada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.

“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan-cawangan untuk menentukan sama ada mahu kepimpinan yang sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk pastikan UMNO terus relevan dalam pentas politik negara.

“Kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” ujarnya.

Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada tahun ini dan dengan desakan supayan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tetap dipertandingkan, ia pastinya akan menghadirkan pelbagai cerita sebelum dan selepas pemilihan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Sinar Harian pula memberi gambaran bahawa Zahid juga akan turut menerima cabaran daripada dua nama lain.

Selain Khairy, menurut laporan portal berita tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk mencabar Zahid bagi kerusi nombor satu parti.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosiobudaya (Saudara), Lim Hong Siang berkata faktor utama Khairy, Ismail Sabri dan Hishamuddin dijangka mencabar jawatan tertinggi parti berkenaan disebabkan mereka dilihat menolak naratif kerjasama UMNO-BN dengan Pakatan Harapan (PH) pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain lebih cenderung menjalin hubungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

ISHAM Jalil dalam Majlis Ramah Mesra Ketua Penerangan Umno Malaysia Bersama Media Massa di PWTC, Kuala Lumpur semalam.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Isham Jalil semasa majlis bersama-sama media massa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam turut diminta mengulas mengenai isu wujud pertandingan atau sebaliknya bagi jawatan Presiden Umno Malaysia dalam PAU akan datang.

Beliau antara lain berkata jika wujud pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Utama Mohamed Hasan, ia akan melorongkan peluang untuk kelompok ‘broker’ parti mengambil alih Umno seterusnya mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dari sudut lain, beliau berkata jika pertandingan jawatan tertinggi dan kedua paling tinggi itu tidak dapat dielakkan pada musim pemilihan akan datang, ia akan memberi gambaran bahawa Umno merupakan sebuah parti yang demokratik dan terbuka.

Kata salah seorang hadirin dalam program dialog dua hala anjuran Isham Jalil tersebut, “jawatan Presiden PAS pun sekian lama tidak tidak pernah dipertandingkan, begitu juga jawatan parti ‘Bunga Raya’ (Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM).

“MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia)? Masih baharu. Kalau presidennya (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) tidak berani membuka pintu saingan seperti yang dilafazkan Presiden Umno Malaysia semalam, elok gugurkan sahaja perkataan demokratik pada parti idealis tersebut,” komennya.

~ Penerangan Umno Pulau Pinang

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button