info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tiga Surau Langgar SOP Diarah Tutup Seminggu

68views

SEREMBAN, 28 Mei  — Tiga surau di daerah Jempol diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam hingga 2 Jun ini selepas didapati ada dalam kalangan jemaahnya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata penutupan surau itu berdasarkan pemantauan dilakukan pihaknya bersama penguat kuasa pejabat agama Islam daerah itu ke atas beberapa masjid dan surau selama tiga hari bermula Selasa.

Menurut beliau, surau berkenaan adalah Surau Felda Raja Alias 1, Surau Felda Raja Alias 4 dan Surau Al-Irsyad, Rumah Rakyat Ayer Hitam.

“Antara pelanggaran SOP yang dilakukan adalah jemaah melebihi kuota ditetapkan, tidak memakai pelitup muka, tidak membawa sejadah sendiri dan menjalankan aktiviti selain daripada solat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Mei lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata jumlah jemaah solat di masjid dan surau di negeri ini dihadkan hingga 7 Jun ini bagi menangani penularan kes COVID-19.

Aminuddin berkata solat Jumaat dibenarkan dengan melibatkan 12 individu sahaja terdiri daripada pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah, manakala solat fardu pula dihadkan kepada tiga orang iaitu imam, bilal dan siak sahaja.

Beliau sebelum itu turut memaklumkan bahawa mana-mana masjid atau surau di negeri ini yang gagal mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19, akan ditutup selama seminggu.

— BERNAMA

Source link