Timbalan Menteri Luar terima kunjungan hormat 9 bakal Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) — Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin pada Khamis  menerima kunjungan hormat daripada sembilan bakal Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu di pejabatnya di sini.

Semasa sesi kunjungan hormat itu, Mohamad turut mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan tentang perkembangan terkini hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas semua bakal Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dalam mempertahankan kepentingan negara untuk terus menjulang imej Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau juga menyatakan harapan agar perwakilan Malaysia di luar negara meneruskan kerjasama erat dengan negara tuan rumah, demi meningkatkan lagi hubungan sedia ada ke tahap lebih baik termasuk dalam menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button