BeritaPolitik

Timbalan Presiden UMNO Cadang Untuk Tidak Bertanding Di Batu Sapi

107views

KOTA KINABALU, 3 Nov — Parti Warisan Sabah (Warisan) menghargai cadangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan supaya semua pihak memberi laluan kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dijadual 5 Dis ini.

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua berkata cadangan yang dibuat oleh Mohamad jelas menunjukkan keprihatinannya terhadap pandemik COVID-19 yang teruk melanda negeri ini.

Beliau berkata tiada salahnya bagi semua pihak termasuk parti politik bekerjasama menangani COVID-19 yang melanda negeri ini kerana apa yang penting masa ini adalah menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik itu.

“Tidak salah sekiranya semua kita semua termasuk calon bebas bersolidariti di PRK Batu Sapi agar kita dapat menumpukan soal kebajikan rakyat serta ekonomi negeri yang terjejas akibat daripada wabak ini.

“Lagipun kita cuma perlu tunggu selama dua tahun lagi untuk PRU diadakan dan adalah lebih baik sekiranya masa sekarang ini digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Dis ini sebagai tarikh PRK Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Okt lepas.

SPR juga menetapkan 23 Nov sebagai tarikh penamaan calon manakala 1 Dis sebagai tarikh mengundi awal.

Pada Ahad lepas, Mohamad dilaporkan sebagai berkata PRK Parlimen Batu Sapi tidak perlu diadakan sekiranya semua parti mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan memberi laluan kepada Warisan menyandang semula kerusi itu.

Loretto berkata umum mengetahui tentang pelbagai cabaran dihadapi petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19 dan semua pihak perlu juga melihat faktor ini sekiranya mahu bertanding pada PRK Parlimen Batu Sapi.

“Nasib dan kebajikan barisan hadapan kita dalam usaha mereka menangani masalah Covid 19 di negeri ini harus kita utamakan dan cadangan Tok Mat (Mohamad) agar UMNO memberi laluan kepada Warisan di Batu Sapi ini amat dihargai,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak mengesahkan sama ada Warisan akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut.

— BERNAMA

Source Link