Berita

TLDM tahan bot nelayan Indonesia berhampiran Langkawi

84views

KUALA LUMPUR, 7 Nov  — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah bot nelayan Indonesia yang didapati memasuki  perairan negara tanpa izin ketika membuat rondaan di Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataan  menyatakan  pemeriksaan oleh Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah mendapati bot terbabit dikendalikan empat warga Indonesia.

“KD Laksamana Tan Pusmah yang mengesan bot terbabit di Selat Melaka Utara kira-kira 60 batu nautika barat Langkawi juga mendapati bot itu mengalami kerosakan di bahagian enjin dan telah berada dalam perairan negara sejak kelmarin.

“KD Laksamana Tan Pusmah telah mengawasi bot tersebut sehingga selesai dibaiki dan seterusnya  mengiringinya keluar dari sempadan Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TLDM akan sentiasa berusaha mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim bagi mengelak penularan penyakit COVID-19 oleh pendatang tanpa izin  menerusi jalan laut.

“Aset TLDM ketika ini bukan saja terlibat dalam Op Benteng Laut tetapi juga Op Pejarak demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” katanya.

Source link