Berita

TNB Sediakan Kalkulator Tenaga, Kira Anggaran Penggunaan Elektrik

145views

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Orang ramai boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah di laman web myTNB, Tenaga Nasional Bhd (TNB).

TNB dalam kenyataannya hari ini memaklumkan menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-calculator, anggaran pengiraan itu berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna, kerana kecekapan peralatan akan berkurangan jika semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

“Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baharu dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, TNB menyatakan akibat taburan hujan yang agak rendah sejak Februari serta gelombang haba baru-baru ini, permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lepas, berbanding 17,501MW pada Februari dan 16,585MW pada Januari.

Menurutnya permintaan elektrik yang tinggi itu salah satunya didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

— BERNAMA

Source link