info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Tujuh ahli gabungan hilang kepercayaan terhadap Presiden MGF

75views

KUALA LUMPUR, 6 Okt  — Sebanyak tujuh daripada keseluruhan 11 ahli gabungan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap presiden badan induk gimnastik negara itu yang juga bekas atlet gimnastik kebangsaan, Rachel Lau.

Tujuh ahli gabungan itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu, yang telah menyerahkan surat ditandatangani perwakilan negeri kepada Setiausaha Kehormat MGF Afrita Ariany Nasril, bagi menggesa untuk diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat mungkin.

Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu A. Razak Mat Amin yang mewakili tujuh ahli gabungan tersebut mendakwa, Rachel telah membelakangkan Jawatankuasa Lembaga Tadbir MGF dalam membuat keputusan, selain menyalahguna kuasanya dalam beberapa isu berbangkit.

“Saya mewakili tujuh persatuan gimnastik negeri telah hilang kepercayaan kepada presiden sekarang, kerana beliau gagal menguruskan MGF dengan baik dan berkesan, terutamanya dalam menyelesaikan masalah-masalah dalaman persatuan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau yang juga bekas presiden MGF berkata, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu dijadual berlangsung pada bila-bila masa sebelum Mac tahun hadapan.

“Jadi dengan keadaan sekarang penyelesaian terbaik adalah presiden membuat AGM lebih awal, untuk membuat pelantikan baharu atau tukar kepada individu yang mendapat sokongan daripada sebahagian besar ahli gabungan,” tambah beliau.

Menurut A. Razak hanya Sabah dan Johor dilihat masih berdiri di belakang Rachel, sementara dua lagi ahli gabungan – Wilayah Persekutuan dan Kedah mengambil pendekatan berkecuali.

Sementara itu, Rachel ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Rachel dipilih sebagai presiden MGF bagi penggal 2019-2021 pada Februari tahun lalu, selepas menang tanpa bertanding selepas penyandang Datuk Jaya Al Bakri tidak mempertahankan jawatan tersebut.

Source link

Leave a Response