Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaTujuh kampung terjejas banjir kilat di Gurun

Tujuh kampung terjejas banjir kilat di Gurun

SUNGAI PETANI, 2 Jun (Bernama) — Tujuh kampung di Mukim Gurun dekat sini terjejas akibat banjir kilat melanda pada 4.23 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan yang turun melebihi tiga jam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapt (PA) Azahar Ahmad berkata antara lokasi terjejas Kampung Sungai Ibor, Kampung Belakang Mahkamah Gurun, Kampung Jelatang dan Kampung Batu 5.

“Tiga lagi kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Bongkok dan Taman Gurun Jaya…cuaca pagi ini masih lagi hujan renyai-renyai. Jumlah rumah terjejas serta jumlah mangsa terlibat banjir masih dalam proses bancian dan pengumpulan data,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azahar berkata pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama-sama agensi penyelamat lain telah bertindak memindahkan mangsa banjir ke kawasan lebih tinggi dan selamat.

“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka…kebanyakan kawasan, air banjir sudah mulai surut kecuali di Kampung Sungai Bongkok, air masih ada, namun tindakan mengeluarkan mangsa yang terperangkap sedang dijalankan.

“Bagaimanapun kita sentiasa siap siaga untuk tempoh lapan jam iaitu sehingga 12 tengah hari ini, susulan amaran hujan lebat dan ribut petir dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia, yang akan melanda beberapa kawasan termasuklah daerah Kuala Muda,” katanya.

Azahar turut menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca di tempat masing-masing serta bersedia untuk berpindah apabila diarahkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular