Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaTujuh kampus KPTM seluruh negara sedia jalani kelas bersemuka jika dibenarkan KPT

Tujuh kampus KPTM seluruh negara sedia jalani kelas bersemuka jika dibenarkan KPT

BATU PAHAT, 30 Mei (Bernama) — Kolej kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bersedia untuk menjalankan pengajian dengan kaedah bersemuka sepenuhnya pada Julai depan sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Timbalan Presiden Akademik KPTM Abdul Azmi Abdul Aziz yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif KPTM berkata kira-kira 18,000 pelajar akan pulang ke tujuh kampus KPTM di seluruh negara antaranya Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) di Kuala Lumpur, KPTM Alor Star, KPTM Ipoh, KPTM Bangi, KPTM Kuantan, KPTM Batu Pahat dan KPTM Kota Bharu.

“Bagi semester hadapan (Julai) kita juga akan menerima kira-kira 7,800 pelajar baharu di kesemua kampus kita dengan menawarkan program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

“KUPTM dan KPTM kini menjalankan program pengajiannya secara dalam talian sepenuhnya semenjak penularan pandemik COVID-19 dan berharap pengajian secara bersemuka dapat dilakukan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 KPTM Batu Pahat, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Jabatan Perancangan Korporat KPTM Mohamed Saifuddin Hussin dan Timbalan Pengarah MARA (Pembangunan) Negeri Johor Wan Alwi Wan Bujang.

Sementara itu, Abdul Azmi berkata kira-kira 1,600 pelajar akan memulakan semester baharu pada Julai depan dengan pengkhususan empat program pengajian di KPTM Batu Pahat.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sekiranya proses pengajian dapat dijalankan secara bersemuka sepenuhnya, termasuk aktiviti kokurikulum seperti sukan, persatuan dan sebagainya.

“Kita di KPTM juga telah merancang untuk mengadakan beberapa program yang melibatkan komuniti dan masyarakat dari pelbagai kaum menggunakan konsep Keluarga Malaysia.

“Bukan sahaja untuk menuntut ilmu, tetapi di KPTM, setiap pelajar akan diterapkan dengan semangat sukarela, sebagai contohnya di KPTM Batu Pahat ini setiap pelajarnya digalakkan untuk menyertai Southern Volunteers (SV) yang diwujudkan kerajaan Johor yang bertujuan menyertai aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular