info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Tujuh Remaja Ditahan Tunggang Motosikal Secara Berbahaya

30views

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Tujuh remaja lelaki ditahan kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan, tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata kumpulan remaja itu dikesan melakukan tunggangan aksi zig zag dan ‘superman’ kira-kira 12.05 tengah malam bermula di kilometer (KM) 256.7 hingga KM 263.9 arah utara kemudian berpatah balik di Plaza Tol Labu dan menghala semula ke arah selatan.

“Aksi yang sama turut dilakukan mereka ini bermula di KM 263.9 hingga KM 256.6 Lebuhraya Plus arah selatan…aksi tersebut amat berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua penunggang motosikal berumur 17 hingga 18 tahun itu ditahan kira-kira 12.35 tengah malam selepas berhenti di hentian rehat Senawang.

Jelasnya, kesemua motosikal disita dan dibawa  ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Source link