info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Tun M Bersedia Dipotong 10 Peratus Dari Pencennya

40views

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa beliau bersedia dipotong pencennya sebanyak 10 peratus bagi membantu meringankan beban mereka yang hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Menerusi kenyataan hari ini, Dr Mahathir berkata keputusan itu dibuat memandangkan kehidupan beliau tidak terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta prosedur operasi standard yang terpaksa diamalkannya susulan wabak penyakit tersebut.

Bagi mengurangkan jurang antara mereka yang bernasib baik dan bermasalah, beliau berkata pemotongan 10 peratus daripada gaji kakitangan awam dan swasta untuk membantu golongan miskin semasa pandemik COVID-19 adalah langkah wajar.

“Tiap kali saya jadi Perdana Menteri, usul saya yang pertama ialah memotong gaji saya, gaji menteri dan timbalan menteri dan juga pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10 peratus. Tidak ada pun masalah ekonomi yang besar di masa itu.

“Sekarang gaji sudah naik berkali ganda dari dahulu. Sementara ramai (pekerja) yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mencadangkan agar mereka yang berpendapatan tinggi dalam sektor awam atau swasta menyumbang 10 peratus daripada gaji mereka kepada golongan kurang bernasib baik, khususnya mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik COVID-19.

— BERNAMA