Berita

Tunggulah Waktu Pemilihan Untuk Tukar Presiden – Noh Omar

90views

TANJONG KARANG, 30 Jan — UMNO Selangor berpegang teguh kepada peraturan dengan menghormati institusi Presiden yang dipilih oleh perwakilan ketika segelintir pihak mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ia juga selaras dengan peraturan dan perlembagaan parti.

“Kita kena ingat, masing-masing ada pengikut. Presiden pun ada pengikut, orang yang nak suruh Presiden berhenti pun ada pengikut. Jadi, mengapa kita mesti bertembung sesama kita?

“Kita mengamalkan demokrasi, jadi tunggulah waktu pemilihan. Kalau nak tukar Presiden, lawanlah dan ia terbuka,” katanya, hari ini.

Noh ditemui selepas program Sanitasi Prihatin di luar perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, di sini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyelar desakan segelintir pihak dalam parti yang mendesak Ahmad Zahid berundur dan menyifatkannya sebagai mahu menjatuhkan imej Presiden.

“Bagi saya, jangan tengok Presiden, tetapi kena tengok institusi Presiden. Sudahlah kita (UMNO) dalam keadaan lemah, ditambah pula dengan cubaan memecah belahkan serta mempersoalkan (institusi Presiden) lagi.

“Saya bimbang, bukan sahaja lawan, malah kawan juga tidak hormat pada kita. Kalau nak UMNO kembali kukuh, ikutlah peraturan dan saluran yang sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan antaranya Ketua Pemuda UMNO Pontian, Helmi Buang; Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendesak supaya Ahmad Zahid ‘berehat secara terhormat’.

Source Link