Uncategorized

Turunkan Harga Kit Ujian Kendiri COVID Perlu Ambil Kira Kepentingan Semua Pihak

KUALA LUMPUR, 21 Sept  — Cadangan penurunan harga maksimum Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang lebih rendah perlu dillaksanakan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia perlu dilaksana dengan mewujudkan ‘situasi menang-menang’ iaitu dalam menjaga kepentingan pengguna, ia juga perlu mengambil kira sudut pandang industri supaya pengeluar dan peniaga dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

“KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan termasuk penelitian terhadap kos pengeluaran dan pengimportan sebelum keputusan menurunkan lagi harga (kit ujian pantas kendiri) dibuat,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nanta menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) sama ada kementerian akan menurunkan lagi harga maksimum Kit Ujian Pantas Kendiri COVID-19 secara berperingkat daripada harga siling RM19.90 yang telah ditetapkan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mampu membeli terutama golongan B40.

Cha seterusnya mencadangkan agar harga maksimum kit ujian tersebut diturunkan secara berperingkat bermula RM15 hingga RM5.

Menjawab soalan tambahan Cha mengenai penetapan harga siling terhadap produk-produk lain seperti ‘gun spray’ (sanitasi), ‘pulse oxymeter’ dan ‘air purifier’ yang kini banyak digunakan oleh rakyat, Nanta berkata cadangan itu juga akan diteliti.

Awal bulan lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa 5 Sept.

Sementara itu, Nanta berkata setakat ini terdapat 16 jenama kit ujian kendiri yang mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persaingan harga di pasaran dan harga boleh diturunkan.

Nanta juga memaklumkan KPDNHEP sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga dan pengilang mematuhi harga siling ditetapkan.

Beliau berkata sejak 5 Sept hingga semalam, sebanyak 2,261 premis diperiksa melibatkan 123 premis borong dan 2,138 peruncit dan sebanyak 10 amaran telah dikeluarkan kepada pihak yang menjual kit melebihi harga maksimum ditetapkan.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button