Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaUEM Sunrise masih kekalkan strategi harga walaupun berdepan kos pembinaan yang tinggi

UEM Sunrise masih kekalkan strategi harga walaupun berdepan kos pembinaan yang tinggi

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Pemaju hartanah UEM Sunrise Bhd berkata ia masih mampu mengekalkan strategi harga jualannya tahun ini walaupun berdepan dengan kos pembinaan yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sufian Abdullah berkata kumpulan itu sedang mengusahakan strategi pemerolehan dan pengurusan risiko yang berkesan untuk membolehkan rakan kongsi, pembekal, vendor dan kontraktornya antara lain, menyerap sejumlah besar risiko dan pengurusan kos pengeluaran.

Kumpulan itu turut memantau dinamik ekonomi dan perkembangan global yang boleh memberi kesan kepada kos pembinaannya, katanya semasa taklimat media mengenai prestasi suku pertama 2022 kumpulan hari ini.

Walaupun pemaju hartanah itu kini mengalami kekurangan tenaga kerja yang mengakibatkan beberapa kelewatan, kumpulan masih boleh bertahan, kata Suffian.

Secara keseluruhan, beliau berkata kumpulan itu masih menjangkakan prestasi tahun kewangan 2022 yang positif, disokong oleh jualan belum dibil bernilai RM2.2 bilion serta projek-projek baharu.

UEM Sunrise juga kekal yakin untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.5 bilion dan melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar RM3.3 bilion untuk tahun ini.

Pemaju hartanah itu kembali meraih keuntungan dengan mencatatkan keuntungan bersih RM19.02 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, daripada kerugian bersih RM4.32 juta pada suku pertama 2021 berikutan lonjakan lebih 100 peratus dalam keuntungan operasi.

Hasil meningkat sebanyak 65 peratus kepada RM416.45 juta daripada RM252.69 juta sebelumnya, disokong terutamanya oleh aktiviti pembangunan hartanah tempatan dan penjualan 19 plot perindustrian dalam fasa tiga Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan di Iskandar Puteri, Johor.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular