Berita

UiTM, Maybank Meterai MoU Galak Komuniti Tanpa Tunai

183views

SHAH ALAM, 30 April — Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Malayan Banking Bhd (Maybank) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membina komuniti tanpa tunai dan membantu golongan belia untuk lebih celik kewangan dengan mengintegrasikan penyelesaian e-pembayaran Maybank, produk dan perkhidmatan di kampus UiTM.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad bagi pihak UiTM manakala Maybank diwakili Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan.

Dalam kenyataan hari ini, UiTM berkata inisiatif pada masa depan akan turut merangkumi Hari Maybank, sehari yang didedikasikan untuk melibatkan pelajar mengenai celik kewangan, bengkel kerjaya dan penglibatan keusahawanan termasuk memperkenalkan modul Keusahawanan Digital untuk menyemai lagi semangat keusahawanan digital dalam kalangan pelajar.

Menurut UiTM, selain itu inisiatif Maybank Cashless Campus akan membantu UiTM memastikan generasi akan datang benar-benar menjadi generasi tanpa tunai.

“Dengan Maybank@Campus, Maybank akan menubuhkan cawangan bank di kampus menjelang 2022 untuk menyediakan kemudahan perbankan dan khidmat nasihat kewangan kepada komuniti kampus,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Source link