info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Ujian COVID-19 Di Malaysia Tidak Pernah Kurang Dari Yang Disaran Oleh WHO

76views

Ia susulan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan jumlah ujian harian dilakukan KKM menurun, sekali gus penurunan jumlah kes baharu ketika ini didakwa tidak menggambarkan situasi sebenar penularan pandemik itu di Malaysia.

Mengakui terdapat penurunan ujian harian kerana cuti Tahun Baharu Cina, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun memaklumkan jumlah ujian harian pada Isnin lalu adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada jumlah disarankan WHO.

Beliau berkata, kadar ujian yang disarankan WHO adalah 10 ujian negatif berbanding satu positif, sebagai penanda aras umum bagi sistem penjagaan kesihatan yang melaksanakan ujian COVID-19 pada jumlah yang mencukupi untuk mengesan wabak itu.

“Ia adalah panduan asas bahawa kita mahukan peratusan rendah ujian yang positif, iaitu sekitar 10 peratus atau lebih rendah.

“Pada 15 Februari lalu, kita melaporkan 2,176 kes positif COVID-19. Adakah ujian tidak mencukupi? Jumlah keseluruhan saringan RT PCR dan RTK Ag dilaksanakan adalah 41,895, iaitu melebihi penanda aras 10 peratus (21,760 ujian).

“Jadi, jumlah ujian harian pada 15 Februari lalu yang berjumlah 41,895 adalah dua kali lebih tinggi dan lebih daripada mencukupi, walaupun terdapat penurunan ujian dilakukan di makmal swasta dan makmal bukan milik KKM,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran Facebook itu, Dr Noor Hisham turut memuat naik graf jumlah ujian harian COVID-19 yang dilaksanakan di Malaysia antara 17 Januari hingga 18 Februari lalu.

Dalam graf itu, jumlah ujian harian mencatat penurunan kira-kira 20,000 hingga 30,000 ujian sehari antara 12 hingga 14 Februari, iaitu tiga hari sambutan Tahun Baharu Cina, namun melonjak kepada 41,895 pada 15 Februari.

Mengulas penurunan itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, 23 makmal swasta yang menjalankan ujian sampel COVID-19, mewakili 66.7 peratus daripada kapasiti maksimum ujian RT PCR COVID-19 kebangsaan, yang bersamaan 51,208 daripada 76,805 ujian RT PCR sehari.

“Jadi, memang difahami apabila kebanyakan makmal swasta tidak beroperasi pada kapasiti keseluruhan atau hanya menerima sampel yang lebih sedikit sepanjang Tahun Baharu Cina,” katanya.

Source Link