info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Ujian Saringan COVID-19 Percuma Buat Penghuni PPR/PA Sabtu Ini

76views

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Penduduk di tiga kawasan perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditawarkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 secara percuma bermula Sabtu ini.

DBKL dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan tiga kawasan terbabit melibatkan PA Seri Sabah 3A dan PA Seri Sabah 3B serta PA Seri Pulau Pinang, yang kesemuanya di Cheras dan PA Seri Kota di Bandar Tun Razak.

Bagi PA Seri Sabah 3A, program saringan bermula 5 hingga 12 Jun, PA Seri Sabah 3B (5 hingga 14 Jun), PA Seri Pulau Pinang (5 hingga 10 Jun) dan PA Seri Kota (5 hingga 16 Jun).

“Kaedah saringan adalah secara RTK (Rapid Test Kit Antigen) dan terhad kepada 300 penghuni sehari. Penghuni di kawasan yang terlibat dinasihatkan turun awal pada tarikh yang berkenaan bagi mengelakkan kesesakan.

“Saringan ini dilaksanakan secara sukarela untuk umur dua tahun dan ke atas. Kanak-Kanak perlu ditemani penjaga mereka,” menurut hantaran itu.

Program dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu adalah sebahagian daripada inisiatif DBKL dalam membantu kerajaan membendung COVID-19 dan akan diteruskan di PA serta PPR seliaan DBKL yang lain mengikut jadual.

Source link