UM hasilkan program model pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) —  Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menyelesaikan kajian untuk Yayasan RYTHM, dengan penghasilan program model pembelajaran untuk pendidikan holistik kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia.

Dalam kenyataan bersama hari ini, UM dan Yayasan RYTHM berkata projek penyelidikan oleh Unit Perundingan UM telah menghasilkan cadangan kurikulum Keperluan Pendidikan Khas (SEN) komprehensif yang RYTHM berharap akan dapat menyumbang kepada kemajuan SEN di negara ini.

Penyelidikan itu diketuai Prof Madya Dr Rafidah Aga Mohd Jaladin dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UM dengan sokongan dua penyelidik kanan UM – Prof Madya Datin Dr S.Thilagavathi dan Dr Donnie Adams Paramasivam.

Fasa pertama daripada tiga fasa kajian itu mengambil data daripada survei dan temu bual tentang kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang untuk penambahbaikan program berasaskan sekolah di sekolah kerajaan dan swasta terpilih.

Dalam memperhalusi dapatan kajian mereka, Rafidah berkata pasukan itu juga mengadakan perbincangan kumpulan fokus dengan profesional dan pakar industri dalam peringkat kedua kajian sebelum mengemukakan cadangan mereka pada fasa terakhir.

Kumpulan fokus menyelidiki lebih mendalam mengenai isu yang diketengahkan dalam fasa satu untuk mereka bentuk struktur model yang dicadangkan iaitu Unlock My Potential: A School-Based Programme (UMP).

Rafidah berkata perkataan Unlock merujuk kepada keperluan untuk membongkar keupayaan kanak-kanak berkeperluan khas dan mengiktiraf bakat mereka manakala My Potential memberi penekanan kepada memudahkan kanak-kanak menemui kekuatan dan kemahiran khusus mereka untuk melayari kehidupan.

Beliau menambah pasukan penyelidik juga menggariskan matlamat murni yang memberi tumpuan pendidikan berterusan bagi anak-anak sejak lahir hingga dewasa atau cradle-to-career seiring visi RYTHM untuk sistem pendidikan melahirkan individu berkeyakinan dan berdikari yang berjaya dalam hidup.

“Model ini bertujuan untuk membantu kanak-kanak menemui dan meningkatkan kesedaran tentang kekuatan mereka lebih awal dan mengembangkan bakat mereka semasa bersekolah hingga dewasa.

“Dalam memastikan pendekatan cradle-to-career yang betul, model ini juga menekankan latihan vokasional bagi lepasan sekolah untuk menyokong mereka dengan keyakinan dan pengetahuan mengharungi pendidikan tinggi, pasaran kerja dan kehidupan, supaya mereka berjaya sebagai orang dewasa yang berdikari,” katanya.

Satu lagi elemen menarik yang dicadangkan dalam model UMP ialah pendidikan kewarganegaraan, iaitu kesedaran pengetahuan sivik dapat membantu pelajar SEN lebih memahami nilai dan peranan mereka dalam masyarakat.

Sebagai tambahan kepada kurikulum yang disyorkan, Rafidah menekankan bahawa kejayaan konsep itu juga sangat bergantung kepada penglibatan ibu bapa dan masyarakat, dengan mengambil kira tonggak lain yang memerlukan perhatian segera – pembangunan guru, sumber, perkhidmatan, kemudahan dan infrastruktur.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Seri Umayal Eswaran memuji penemuan komprehensif pasukan penyelidik itu sebagai model cemerlang yang sejajar dengan visi mereka untuk program pendidikan yang memenuhi keperluan semua kanak-kanak kurang upaya di Malaysia.

“Sebagai sebuah organisasi yang berhasrat memberi impak kepada landskap SEN melalui ekosistem kerjasama, kami berharap untuk terus maju bersama pasukan penyelidik dan universiti menggalakkan penggabungan program ini dalam sistem pendidikan Malaysia,” katanya.

RYTHM menugaskan kajian itu berdasarkan kepercayaannya yang tidak berbelah bahagi bahawa semua kanak-kanak mempunyai tahap potensi yang berbeza-beza menunggu untuk didedahkan oleh sistem pendidikan yang lebih inklusif, saksama dan holistik yang memupuk kekuatan mereka.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button