Berita

UMNO Dan BERSATU Perlu Terus Bermuafakat – Rais Yatim

78views

JELEBU, 6 Mac — UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) perlu meneruskan pemuafakatan bagi menjamin masa depan serta kuasa politik orang Melayu yang lebih stabil.

Penasihat BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata beliau percaya hubungan UMNO dan BERSATU tidak akan terputus begitu saja biarpun pelbagai pendapat dan pandangan dikemukakan pelbagai pihak.

Katanya, beliau meletakkan harapan tinggi supaya kedua-dua parti terbabit kembali bekerjasama dengan turut disertai PAS.

“Dalam UMNO ada menantu, dalam BERSATU ada mentua dan ia ibarat satu keluarga yang tidak akan ‘berpatah arang’ begitu saja.

“Saya tetap berharap UMNO dan BERSATU bermuafakat demi bangsa dan masa depan politik orang Melayu di negara ini sebab sama ada UMNO, BERSATU atau PAS, parti ini tidak boleh berkuasa secara bersendirian,” katanya selepas program Sentuhan Budi BERSATU Jelebu di Kampung Geylang, Pertang di sini, hari ini.

Rais berkata, beliau berpandangan positif apabila dua parti yang dikuasai orang Melayu dapat berganding bahu memajukan negara secara bersama.