info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

UMNO Mahu Kerajaan Fokus Rakyat dan Henti Berpolitik

34views

KUALA LUMPUR 13 Okt – Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO hari ini memutuskan untuk mempertimbangkan penarikan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional. UMNO secara halusnya memberikan bayangan permuktamadan kerjasama politik perlu dilakukan secara bertulis.

Sumber dari PWTC memaklumkan bahawa beberapa perkara dasar dalam pentadbiran negara mencetuskan kegusaran kepada UMNO terutamanya isu-isu negara seperti perlantikan speaker yang tidak dibuat secara konsensus strategik kepentingan bersama.

Perikatan Nasional seharusnya memuktamadkan Majlis Presiden bagi memutuskan beberapa perkara strategik sedemikian dan UMNO telah membayangkan perlunya satu perjanjian secara bertulis secepat mungkin.

Khabar angin juga telah menyatakan bahawa Presiden UMNO dijangka akan mengadap Yang DiPertuan Agong pada hari khamis 15 Oktober jam 5 petang. Khabar angin ini seolah-olah memberikan masa kepada kepimpinan Bersatu untuk bertindak selewat-lewatnya pada tarikh tersebut.

Selain itu, sumber memaklumkan bahawa UMNO juga tidak berpuashati dengan tindakan kerajaan menyelamatkan (bail-out) Ecoworld melalui UEM-Sunrise menggunakan kepentingan rakyat demi menyelamatkan beberapa individu.

Kepimpinan UMNO juga dikatakan tidak berpuashati dengan tindakan kerajaan yang enggan menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) secara terus tetapi bermurah hati pula untuk menjamin AirAsia. Tindakan kerajaan enggan menyelamatkan Ikon Penerbangan Kebangsaan ini akan menjejaskan hampir 20 ribu pekerjaan seterusnya membuka peluang lebih besar kepada AirAsia untuk memonopoli industri penerbangan tanah air.

UMNO juga dikatakan melihat kerajaan Perikatan Nasional yang disertai oleh PAS juga mengabaikan RUU355. Rang Undang-undang ini bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam. RUU355 ini merupakan agenda utama dalam penyatuan ummah yang membawa kepada pembentukan Muafakat Nasional.

Isu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban semasa tragedi  Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman juga dilihat sengaja dilengah-lengahkan. UMNO mahukan penyiasatan diselesaikan segera dan satu tindakan pembaikan dalam Modus Operandi pencegahan rusuhan dan undang-undang dilakukan bagi melindungi semua frontliners yang terbabit dalam insiden sedemikian.

UMNO juga jelek dengan tindakan memanipulasikan pandemik COVID-19 sebagai peluang politik bagi memenuhi nafsu segelintir ahli politik sehingga menyebabkan peningkatan kadar kes COVID-19 di kalangan rakyat jelata yang semakin terhimpit dari segi ekonomi.

UMNO juga menyeru supaya politik jijik “membeli” ahli politik dihentikan walhal berada dalam “perikatan” yang sama.

UMNO mahukan kerajaan hari ini memberikan fokus kepada pemulihan ekonomi dan pembendungan COVID-19 berbanding sibuk berpolitik mempertahan kerajaan hari ini. UMNO komited untuk terus memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional sekurang-kurangnya sehingga PRU15 kelak.

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam laporan bertajuk  ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE)‘, memaklumkan bahawa pandemik itu telah menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus).

UMNO bimbang bahawa kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Sementara itu, angka pemberhentian pekerja dijangka sama seperti ketika krisis kewangan Asia pada 1997 berikutan langkah pencegahan menerusi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU) yang dilaksanakan kerajaan untuk mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

UMNO juga menyatakan kebimbangan kerana kadar pengangguran belia akan berada melebihi tahap lapan ke 11 peratus. Mereka adalah demografi usia yang paling mudah terdedah kepada pemberhentian pekerja.

Sehubungan dengan itu, UMNO mahukan supaya Skim Jaminan Pekerjaan dilaksanakan bagi memastikan pendapatan rakyat kekal stabil dan seterusnya mengurangkan impak pengangguran bagi golongan graduan.

Kerajaan juga dilihat tidak bersungguh-sungguh melakukan stimulasi ekonomi. Lebih 4,500 buah perniagaan ditutup dalam tempoh empat bulan penularan pandemik COVID-19 di negara ini dan dijangka akan berterusan sehingga tahun hadapan.

Moratorium Bersasar juga tidak dilaksanakan dengan serius kepada rakyat yang memerlukan. Ramai rakyat yang memiliki rumah, kereta dan lain-lain pinjaman terlibat dalam pemberhentian kerja akibat pandemik ini.

UMNO berpendapat kerajaan harus memberikan fokus kepada peningkatan pendapatan negara seperti kembali kepada sistem cukai GST yang terbukti lebih telus. UMNO prihatin dengan kerugian mangsa scam yang meningkat selepas pemansuhan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan. Kerugian berjumlah RM410.6 juta membabitkan 8,489 kes direkodkan berlaku sepanjang 2018  hingga Ogos 2019 akibat kegiatan jenayah scammer.

UMNO meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik. Sebarang perubahan politik boleh menggugat pasaran seterusnya menjejaskan pendapatan rakyat. Adalah satu pilihan sukar untuk UMNO menghadapi pilihanraya sekarang rentetan dari pandemik COVID-19 dan beberapa masalah dalaman UMNO yang masih belum diselesaikan.