Berita

UMNO PAS Bincang Pemerkasaan MN

163views

KUALA LUMPUR, 10 Mac — UMNO dan PAS mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini, antara lain membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, mesyuarat dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia turut disertai 12 ahli pimpinan tertinggi masing-masing dari kedua-dua parti.

“Banyak perkara akan kita runding, terutamanya mengenai pemerkasaan MN, sebab kita tidak pernah buat apa-apa kenyataan yang sebaliknya, kita memang ingin memperkasakan MN, UMNO begitu dan PAS juga begitu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Ditanya agenda mesyuarat itu sama ada akan turut memberi kata dua kepada PAS untuk memilih bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau UMNO, Ahmad berkata ia adalah hak PAS jika ingin bekerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).

“Hubungan PAS dan UMNO ini sudah bermula lebih awal daripada hubungan PAS dan BERSATU dalam PN, tidak ada sebab kenapa kami perlu adakan kata dua (kepada PAS),” katanya.

Berhubung soal pembahagian kerusi, Ahmad berkata beliau melihat tiada pertembungan dalam pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Antara UMNO dan PAS kita harap tidak ada pertembungan, tapi antara UMNO dan BERSATU itu kita ‘akan perhatikan dulu,” katanya.

Terdahulu, pada sebelah petang, UMNO dan PAS turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MN, dipengerusikan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Khaled berkata mesyuarat berkala berkenaan adalah cerminan betapa eratnya hubungan antara kedua-dua parti yang masih berusaha mengukuhkan MN.

“Walaupun macam-macam diperkatakan di luar tapi hubungan kami (UMNO dan PAS), pertemuan kami masih ada dan diteruskan,” katanya.

Sebelum ini UMNO memutuskan menolak kerjasama dengan BERSATU pada PRU-15, namun kekal dengan pendirian untuk mengukuhkan MN.

PAS bagaimanapun sedia memperkasa MN, sekali gus mahu meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama PN.

— BERNAMA

Source Link