info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

UMNO Tidak Pernah Menekan Kerajaan Segerakan PRU-15

87views

JOHOR BAHRU, 19 Jan — UMNO tidak menekan atau memaksa kerajaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera pada masa ini berikutan negara masih bergelut dengan COVID-19 dan bencana banjir.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata parti itu memahami kesukaran dihadapi kerajaan diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam membantu rakyat menangani wabak berkenaan dan bencana banjir.

Katanya, cadangan PRU-15 lebih awal itu sebenarnya dikemukakan Perdana Menteri berikutan jurang antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sangat kecil seperti apa dapat dilihat pada undian belah bahagi Belanjawan 2021 lalu.

“Namun pada saya, dalam keadaan COVID-19 masih pada tahap kritikal, UMNO minta PRU-15 diadakan selepas wabak itu berjaya dikawal dan direndahkan penularannya.

“UMNO tidak meminta PRU diadakan pada masa ini apatah lagi banjir sedang melanda Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Biarlah kita bercakap secara rasional, bukannya secara politik contohnya ‘kami mahu juga PRU sekarang.’

“Rakyat sedang memerhati kelakuan ahli politik. Biarlah COVID-19 dan apa jua bencana dihadapi rakyat diselesaikan dahulu sebelum PRU diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stesen Pencawang Utama Kabel Dasar Laut TNB Senibong di Permas Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB Johor, Mohamed Noh Seth.

Ahad minggu lalu, UMNO dilaporkan mahu PRU-15 disegerakan bagi mengembalikan mandat rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata banyak negara lain melangsungkan pilihan raya dalam situasi wabak COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendedahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pandemik COVID-19 berjaya diredakan dengan bekalan vaksin mula diagih kepada rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan berkata perkara itu diluahkan Muhyiddin sewaktu mengadakan mesyuarat khas MPT BERSATU pada malam Selasa lalu, dengan sasaran awal PRU-15 sepatutnya diadakan tahun lepas.

Source Link