info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

‘Uncle Hashim’, Melayu Berjasa Di Australia

95views

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Nama ‘Uncle Hashim’ mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia di sini namun beliau bukan seperti bapa saudara atau pak cik anda di rumah.

Di Australia, Uncle Hashim atau nama sebenarnya Abdul Rahman Hashim boleh dianggap sebagai individu yang agak terkenal.

Selepas bertahun-tahun menghulurkan khidmat secara sukarela kepada komuniti Islam dan rakyat Malaysia di Canberra, beliau bukan sekadar mendapat tempat di hati komuniti terbabit malah pengiktirafan kerajaan Australia yang menganugerahkannya Pingat Order of Australia (OAM) pada sambutan Hari Australia semalam.

Selepas tiga tahun berhijrah ke Australia pada 1969, Abdul Rahman mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Rakyat Malaysia Australia sebagai usaha menyatukan rakyat negara ini di Canberra.

“Ideanya adalah untuk menjaga mereka. Masalah utama di sana ialah tiada daging halal, jadi saya bersama-sama beberapa rakan memulakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan dan mereka bersetuju menjadikan penyembelihan halal sebagai sesuatu yang sah,” katanya dalam temu bual dengan stesen radio ABC yang dikongsi menerusi saluran YouTube Anil Sabah Al Ahmad Masjid.

Sepanjang berada di Canberra, Abdul Rahman turut menjadi sukarelawan di hospital sebagai penjaga kepada pesakit Islam yang bermula ketika isterinya menerima rawatan kerana menghidap penyakit kanser.

Meskipun sudah berusia 79 tahun, beliau masih aktif mengajar komuniti Islam di Canberra membaca Al-Quran secara sukarela dan melakukan upacara pengebumian.

“Kami melatih orang tetapi mereka agak keberatan kerana terpaksa berdepan pelbagai jenis mayat, sama ada normal atau kematian yang disebabkan kemalangan, jadi memerlukan masa untuk menanganinya,” kata beliau.

Menurut artikel yang disiarkan Australian Muslim Times, aktivis sosial itu turut diiktiraf oleh Perkhidmatan Awam Australia dan menerima anugerah tertinggi Rotari iaitu Felow Paul Harris pada 1987 ketika beliau menganggotai Kelab Rotari Bandaraya Canberra.

Beliau juga terbabit dalam penubuhan pelbagai persatuan termasuk Majlis Pelajar Luar Negara Canberra, Persatuan Pelajar Malaysia, Persatuan Pelajar Islam Canberra dan Persatuan Rakyat Malaysia Australia semasa zaman mudanya di Universiti Canberra.

Usaha terkini Uncle Hashim ialah pelancaran Australian Muslim Aged and Respite Care, sebuah platform yang menyalurkan bantuan kepada komuniti Islam di Canberra menggunakan perkhidmatan kebajikan yang dibayar oleh kerajaan dengan matlamat menyediakan tempat yang selesa kepada warga emas beragama Islam dengan penjagaan perubatan penuh.

Akhbar tempatan menjelaskan bahawa anugerah itu diberikan Gabenor Jeneral Australia kepada Uncle Hashim sebagai mengiktiraf semangat dan kerja keras beliau dalam membantu komuniti Islam di negara itu. – BERNAMA

Source Link