BeritaPolitik

Undang-undang anti lompat parti tingkat kestabilan politik, keyakinan awam

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Reformasi undang-undang kini dilihat perlu disegerakan, termasuk undang-undang berkaitan dengan anti lompat parti, khusus bagi meningkatkan keyakinan dan tadbir urus di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata undang-undang berkaitan anti lompat parti diperlukan bagi meningkatkan kestabilan politik, keyakinan orang ramai terhadap proses demokratik, di samping memastikan keputusan para pengundi terus dihormati.

Beliau berkata beberapa negara seperti Singapura, United Kingdom mempunyai undang-undang anti lompat parti atau anti pengkhianat, atau pindaan yang berkaitan dengan undang-undang berkenaan, termasuk perlembagaan yang mengenakan tindakan pemecatan atau mengosongkan kerusi mereka yang melompat parti.

“Di Malaysia, kita memerlukan keterlibatan yang tersusun dan mencukupi untuk menetapkan apa sebenarnya yang diperlukan negara. Pada pandangan saya ini bukan suatu tugas yang mudah memandangkan ahli politik dan parti masing-masing mempunyai pandangan mereka sendiri berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ‘Parliamentary and Legal Reforms Towards Enhancing Governance and Economic Prosperity’ di sidang Kemuncak Keusahawanan dan Ekonomi Asia 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada tidak lebih dari 10 tahun adalah satu lagi reformasi penting kerana ia memberikan jaminan kepada rakyat bahawa tidak ada seorang pun yang dapat memegang jawatan terlalu lama, di samping mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah dan tindakan lain seperti nepotisme dan kronisme.

Menurut Wan Junaidi reformasi sedemikian akan membolehkan perubahan dalam kepimpinan pembuat dasar dan memberi peluang kepada idea-idea baharu serta persaingan yang sihat sambil mengukuhkan demokrasi.

Sementara itu beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya sedang bekerja keras untuk memastikan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilakukan dengan jangka waktu yang ditentukan, dan ia termasuk meminda undang-undang serta memastikan keperluan logistik dan infrastruktur di seluruh Malaysia tersusun rapi.

Katanya pembaharuan lain akan merangkumi pindaan perlembagaan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, kerana fokus beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang adalah untuk melihat pindaan legislatif substansial kepada perlembagaan yang akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai Sabah dan Sarawak.

Menyentuh isu reformasi parlimen, Wan Junaidi berkata adalah penting agar Akta Perkhidmatan Parlimen 1063 dikembalikan semula bagi membolehkan kebebasan penuh Parlimen dan memastikan bahawa dewan yang mulia itu menegakkan konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Pada masa sama beliau berkata ia akan membolehkan undang-undang diteliti lebih baik dengan demokrasi berparlimen dipertahankan melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diperkukuhkan.

Wan Junaidi berkata Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen1952 perlu dipinda kerana ia boleh dianggap sebagai undang-undang lama.

Sementara itu beliau berkata transformasi dalam sektor kerajaan merangkumi nilai-nilai murni dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Keutamaan segera Malaysia adalah untuk mempertahankan pengurusan pandemik semasa dan kesannya terhadap individu, isi rumah, dan perniagaan,” kata Wan Junaidi.

Katanya sehubungan itu melindungi nyawa dan menjaga kesihatan warganegara sangat penting untuk memastikan aktiviti ekonomi yang selamat dan pencegahan kegawatan ekonomi yang berlarutan.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button