Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaUntung bersih suku pertama 2022 MyEG naik 11.4 peratus kepada RM84.63 juta

Untung bersih suku pertama 2022 MyEG naik 11.4 peratus kepada RM84.63 juta

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih MY E.G. Services Bhd (MyEG) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 (suku pertama 2022) meningkat 11.4 peratus kepada RM84.63 juta daripada RM76.29 juta pada suku yang sama tahun lepas disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan kutipan kuarantin.

Bagaimanapun, syarikat itu mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM161.77 juta bagi suku tersebut daripada RM171.46 juta setahun yang lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keuntungan yang lebih tinggi sebanyak RM8.72 juta disebabkan terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada perkhidmatan kutipan kuarantin COVID-19 di bawah MySafeTravel dan MySafeQuarantine kerana kerajaan menutup pusat kuarantinnya dan membenarkan pengaturan kuarantin persendirian dibuat.

Syarikat itu juga menyaksikan jumlah urus niaga yang lebih tinggi untuk perkhidmatan konsesi sedia ada yang menghasilkan sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan sampingan seperti penyempurnaan dokumen keselamatan dan pembaharuan insurans dalam talian, katanya.

Bagi hasil, ia berkata penurunan kira-kira RM9.69 juta atau 5.7 peratus terutamanya disebabkan oleh perubahan aturan tempahan dan yuran rujukan yang diiktiraf bagi setiap pengaturan kuarantin persendirian.

Mengenai prospek untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022, syarikat itu berkata ia optimis dan berhati-hati bahawa prospek jangka panjang untuk MyEG kekal positif kerana ia terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan juga di peringkat global.

MyEG dijangka terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu di Malaysia serta negara tempat ia berada, untuk memacu pertumbuhan organik tahun ini.

“Dengan sekatan COVID-19 ditarik balik, MyEG kini memulakan teknologi blockchain dengan memperkenalkan platform blockchain Lapisan 1 bernama Zetrix dengan kerjasama rakan kongsi.

“Pada masa yang sama, kami mengintegrasikan platform itu dengan platform blockchain nasional China, iaitu Xing Huo untuk membolehkan kami mula memperkenalkan perkhidmatan komersial yang boleh digunakan secara global,” tambahnya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular