info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Usaha percepat vaksinasi Malaysia dipertingkat

50views

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Malaysia pada Khamis (3 Jun) mencatat kejayaan baharu dalam usaha vaksinasi apabila 117,563 dos vaksin diberikan dalam sehari, jumlah tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ( PICK) dilaksanakan 100 hari yang lalu.

Angka tersebut menjadi petunjuk jelas bahawa rancangan mempercepatkan vaksinasi sedang rancak dilaksanakan dan bersedia untuk memenuhi sasaran ditetapkan iaitu 150,000 suntikan vaksin setiap hari pada Jun sebelum ditingkatkan kepada 200,000 pada Julai.

Pada Khamis, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata  sasaran itu akan dicapai melalui penubuhan lebih banyak pusat vaksinasi, termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara, serta melalui sistem pandu lalu.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata kadar vaksinasi Malaysia, termasuk dos pertama, telah mendahului Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Berdasarkan dos vaksin yang diberikan setiap 100 orang mengikut jumlah populasi, statistik yang disediakan ourworldindata.org menunjukkan Malaysia dengan angka 9.3 mengikuti rapat negara jirannya Indonesia (9.98) dan Brunei (12.06). Hanya Singapura yang jauh di depan dengan 69.19.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada  Jumaat menunjukkan 12,584,422 orang atau lebih satu pertiga daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 31.5 juta sudah mendaftar untuk vaksin.

Sejumlah 2,282,783 rakyat Malaysia telah melengkapkan proses vaksinasi.

Malaysia pada Jumaat mencatatkan 7,748 kes baharu dan 86 kematian, menjadikan jumlah kes COVID-19 keseluruhan sebanyak 603,122 dengan jumlah kematian terkini 3,182.

— BERNAMA

Source link