Usahawan terutama generasi muda jangan malu dekati agensi KUSKOP

KOTA KINABALU, 23 Dis (Bernama) — Usahawan terutama generasi muda perlu mendekati agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mendapatkan bimbingan, latihan serta bantuan yang tersedia untuk membangunkan perniagaan mereka.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata ini kerana agensi KUSKOP  seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Tekun Nasional, mempunyai pelbagai inisiatif dan program bagi membantu usahawan untuk meningkatkan hasil jualan dan sekali gus memajukan perniagaan mereka.

Beliau berkata usahawan terutamanya generasi muda wajar dibantu dan dibimbing sehingga menjadi usahawan berjaya, bagi membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga serta masa hadapan negara.

“Dunia digital masa kini juga banyak faedahnya untuk usahawan kita, generasi muda kita juga banyak masa di media sosial, jadi mengapa tidak terlibat dalam keusahawanan digital, dengan menggunakan media sosial itu sebagai platform menjana pendapatan kepada mereka.

“Latihan keusahawanan antaranya berasaskan digital ini juga, salah satu tumpuan diberikan kementerian (KUSKOP) antaranya melalui INSKEN…jadi dekati agensi kita untuk membolehkan kita bantu semua,” katanya kepada media di sini malam ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Graduasi Bimbingan INSKEN Edisi Sabah 2022 di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.

Pada majlis malam ini, 52 usahawan dari Sabah berjaya menamatkan Program INSKEN Bumiputera Business Coaching selama empat bulan, dalam dua industri iaitu Jahitan dan Jualan Pasar Raya Makanan dan Minuman.

Ewon berkata inisiatif program latihan dan bimbingan daripada INSKEN ini, amat diperlukan bagi menyokong beberapa pendekatan baharu yang akan digariskan KUSKOP, termasuklah memberi tumpuan lebih besar dalam aspek pembangunan keusahawanan di Sabah.

“Ekonomi digital, agro-pelancongan, sosial dan perusahaan kecil penjaja merupakan antara pendekatan baharu yang akan diberi fokus di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button