BeritaTeknologi

USM jalin kerjasama sediakan sistem pencucian panel solar

NIBONG TEBAL, 26 Sept  — Universiti Sains Malaysia (USM) menjalin kerjasama dengan syarikat Voltake Energy Services Sdn Bhd untuk melaksanakan projek menyediakan sistem bagi meningkatkan kadar pencucian solar panel yang dimiliki oleh syarikat agar tidak memakan masa lama dengan kos lebih efektif terhadap penggunaan tenaga kerja.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah dana yang diperuntuk bagi projek itu ialah RM60,000 menerusi geran Rangkaian Penyelidikan Awam Swasta (PPRN) untuk tempoh selama 12 bulan.

“Saya hari ini telah menyerahkan surat pemakluman pelaksanaan projek PPRN kepada syarikat Voltake Energy Services Sdn Bhd bagi melaksanakan projek Pembersihan Panel Suria Mudah Alih Berasaskan IoT Separa Automatik yang disesuaikan.

“Projek yang diketuai oleh penyelidik USM Profesor Madya Dr Mohamad Aizat Abas itu diharap dapat menyediakan sistem bagi meningkatkan kadar pencucian solar panel yang dimiliki oleh syarikat kerana proses pencucian solar panel dilakukan secara manual dan memakan masa yang lama serta tidak kos efektif terhadap penggunaan tenaga kerja,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan surat pemakluman itu kepada syarikat terbabit di Nibong Tebal di sini.

Noraini berkata pembangunan sistem itu bertepatan dengan objektif PPRN iaitu inisiatif inovatif yang mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia untuk meningkatkan produktiviti serta mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui program inovasi yang berpacukan permintaan.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi berharap selepas projek itu berakhir pada tahun depan, prototaip ataupun peralatan pencucian panel solar ini mampu dikomersialkan dalam skala besar.

“Mungkin juga suatu hari nanti kita mampu melihat syarikat Voltake Energy Services Sdn Bhd dapat membangunkan sendiri prototaip ataupun peralatan pencucian tersebut dan memberi peluang kepada pelajar USM untuk melakukan latihan industri di syarikat itu dan seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

  Noraini juga berkata pada tahun ini, USM berjaya memperoleh tiga geran PPRN dengan dua projek lagi membabitkan pembangunan sistem dalam mengautomasikan proses kerja di syarikat terbabit.

“Justeru dengan pemberian geran PPRN ini kepada pihak syarikat dan USM, ia diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri lain untuk turut sama memohon geran PPRN pada tahun depan serta merancakkan semula ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan universiti,” katanya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button