Berita

USM Tangguh Upacara Konvokesyen Ke-58

71views

GEORGE TOWN, 11 Mei — Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan Upacara Konvokesyen Ke-58 yang dijadualkan pada 8 hingga 16 Jun depan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata pihaknya mengambil keputusan itu selepas mengambil kira kesemua faktor risiko dan penilaian menyeluruh meliputi keselamatan dan kesejahteraan graduan, warga universiti serta masyarakat

“Keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Tuanku Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga Raja Perlis.

“USM memandang serius  peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dalam negara kebelakangan ini serta mengambil maklum mengenai PKP di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun dan setelah mengambil kira segala risiko dan mendapat perkenan Tuanku Canselor, pihak Universiti telah memutuskan untuk menangguhkan Upacara Konvokesyen Ke-58 USM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, segala kesulitan yang berbangkit akibat daripada penangguhan itu terutama berkaitan dengan persiapan dan perancangan awal yang telah dilakukan oleh pihak graduan adalah amat dikesali.

Faisal Rafiq berkata keputusan ini dibuat atas faktor kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua pihak terlibat di samping  pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam hal ini juga, pihak USM amat menghargai keprihatinan, kefahaman dan kerjasama yang diberikan oleh kesemua pihak yang terbabit. Marilah kita bersama-sama berdoa dan membantu memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata para graduan diminta melayari laman web rasmi https://convo.usm.my/ dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung Upacara Konvokesyen Ke-58 USM.

— BERNAMA

Source link