info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

UTeM Kongsi Kepakaran Bangunkan Galeri Falak Di Tanjung Bidara

89views

ALOR GAJAH, 16 Okt  — Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran dengan Jabatan Mufti Melaka dalam memartabatkan pendidikan ilmu Falak Syarie dengan menaik taraf Galeri Falak dan Teleskop Robotik di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di sini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata kejayaan itu menjadikannya sebagai satu-satunya Kompleks Falak di negara ini yang menggunakan konsep media interaktif dalam memberikan pendidikan kepada pengunjung.

Beliau berkata konsep itu dilihat mampu menarik pelancong selain mesra pengguna iaitu dengan hanya memerlukan telefon pintar untuk mengakses aplikasi disediakan di Galeri Falak yang berasaskan realiti  terimbuh (augmented reality), realiti maya (visual reality) dan hologram.

“UTeM komited berkongsi kepakaran yang kami miliki demi kepentingan dan pembangunan bersama dalam merentas disiplin ilmu seiring peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dalam konteks pembangunan teknikal yang memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti sejagat.

“Kewujudan UTeM di negeri ini mampu membantu agensi berkaitan menggunakan kepakaran teknologi maklumat dan teknikal secara bersama dalam memartabatkan pendidikan ilmu falak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program itu dijayakan  sekumpulan tenaga pakar dari UTeM menerusi Jawatankuasa Teknikal Falak UTeM di bawah Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK) bersama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTeM.

Dalam satu majlis yang berlangsung semalam, UTeM yang diwakili Raha manakala Jabatan Mufti Melaka diwakili Mufti negeri Datuk Abdul Halim Tawil mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

— BERNAMA

Source link