Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaUzma Nexus peroleh kontrak daripada Nextenaga bernilai RM101.83 juta

Uzma Nexus peroleh kontrak daripada Nextenaga bernilai RM101.83 juta

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Syarikat berkaitan Uzma Bhd, Uzma Nexus Sdn Bhd (UNSB) memperoleh kontrak daripada anak syarikat milik penuh Nexuscorpgroup Sdn Bhd, Nextenaga Sdn Bhd bernilai RM101.83 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Uzma berkata kontrak itu adalah untuk penyediaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi pembangunan projek loji solar fotovolta berskala besar Nextenaga Bukit Badong di Bestari Jaya, Selangor.

Ia berkata UNSB telah melantik Suria Infiniti Sdn Bhd (SISB), satu lagi syarikat berkaitan Uzma, untuk menjalankan kerja-kerja itu melalui surat tawaran UNSB bertarikh 29 April 2022.

Uzma berkata UNSB akan menyiapkan dan menyerahkan kerja-kerja itu kepada Nextenaga selewat-lewatnya pada 31 Dis 2022 untuk tarikh operasi awal dan tarikh operasi komersial selewat-lewatnya pada 9 Mac 2023.

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan seterusnya sehingga tamat kontrak, katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular