info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Vaksin COVID-19 AstraZeneca-Oxford Selamat Untuk Warga Emas

83views

GENEVA, 11 Feb — Vaksin COVID-19 AstraZeneca-Oxford boleh digunakan oleh warga emas berusia lebih 65 tahun dan di kawasan varian menular, kata pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap suntikan itu.

Kumpulan Pakar Penasihat Strategi mengenai Imunisasi (SAGE) WHO mengeluarkan cadangan sementara untuk bila dan bagaimana penggunaan dua suntikan vaksin, yang belum mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada WHO.

Pengumuman itu dibuat selepas vaksin berkenaan berdepan isu yang menimbulkan persoalan mengenai kewajaran vaksin digunakan terhadap orang tua, atau di tempat varian virus yang pertama kali ditemukan di Afrika Selatan.

Ketua SAGE, Alejandro Cravioto mengakui kekurangan data mengenai keberkesanan vaksin untuk individu berusia lebih 65 tahun menyebabkan sebilangan negara menahan penggunaannya terhadap golongan itu yang menjadi kelompok paling rentan terhadap virus berkenaan.

Bagaimanapun pakar membuat kesimpulan bahawa memandangkan vaksin itu berkesan terhadap dewasa yang lebih muka, “kemungkinan vaksin itu juga terbukti berkesan kepada orang tua. Data percubaan menunjukkan vaksin selamat untuk golongan usia berkenaan”.

Cravioto berkata tindak balas vaksin terhadap kumpulan itu tidak boleh berbeza dengan kumpulan yang lebih muda.

Katanya, SAGE mengesyorkan vaksin digunakan kepada individu berusia 18 tahun ke atas, tanpa had usia lebih tinggi.

Cravioto berkata pakar sedang menunggu data lebih spesifik mengenai keberkesanan vaksin terhadap individu berusia lebih 65 tahun tetapi menegaskan “tidak sesuai” untuk menunggu cadangan itu berikutan dunia berdepan kes kematian meningkat.

Kumpulan pakar berkata mereka juga berbincang mengenai keberkesanan vaksin ketika dunia berdepan kemunculan varian yang pertama kali ditemukan di Afrika Selatan.

Negara itu memutuskan untuk mengabaikan vaksin AstraZeneca dalam program vaksinasi berikutan kebimbangan terhadap keberkesanan vaksin itu terhadap varian.

Kebimbangan bermula apabila kajian oleh Afrika Selatan menyimpulkan vaksin AstraZeneca hanya memberikan perlindungan “minimum” terhadap COVID-19 ringan hingga sederhana yang disebabkan oleh varian itu.

Bagaimanapun, WHO menegaskan lebih banyak data diperlukan, merujuk kepada skop, metodologi dan kajian berkenaan.

Semalam SAGE mencadangkan vaksin boleh digunakan walaupun varian ditemukan dalam negara.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan berkata manfaatnya akan “jauh lebih besar” daripada risiko kerana varian mungkin bukan strain utama yang beredar di negara itu.

Pakar SAGE juga berkata vaksin itu terbukti lebih berkesan apabila selang waktu antara dos dilanjutkan antara lapan hingga 12 minggu. – AFP

Source Link