Berita

Vaksin COVID-19 Buatan Cuba Masuk Fasa Ujian Baharu

92views

HAVANA, 23 Jan — Cuba yang mahu memvaksin seluruh rakyatnya menerusi vaksin COVID-19 buatan sendiri, memasuki fasa ujian baharu minggu ini, dengan vaksin Sovereign 02.

“Jika semuanya berjalan lancar, seluruh rakyat akan menerima vaksin tahun ini,” kata Pengarah Institut Vaksin Finlay (IFV).

Katanya, IFV memiliki kapasiti menghasilkan 100 juta dos vaksin Sovereign 02 dalam tempoh 11 bulan akan datang, sekiranya lulus fasa ujian itu.

Sovereign 02 ialah calon vaksin paling ke hadapan daripada tiga vaksin lain yang sedang dibangunkan Cuba, negara kepulauan komunis yang dikenakan pelbagai sekatan oleh Amerika Syarikat (AS).

Tiga lagi vaksin dikenali sebagai Sovereign 01, Abdala dan Mambisa.

Cuba yang memiliki 11.2 juta populasi antara negara yang mencatatkan kes COVID-19 terendah di dunia dengan hanya 19,000 jangkitan dan 180 kematian.

Sovereign 02 kini berada dalam Fasa 2B dengan 900 sukarelawan. Jika berjaya, ia akan memasuki Fasa 3 dengan 150,000 sukarelawan pada Mac, iaitu fasa terakhir sebelum didaftarkan.

Cuba berharap dapat melancarkan kempen vaksinasi sekitar suku pertama tahun ini, sekali gus menjadi negara Amerika Latin pertama menghasilkan vaksin COVID-19 sendiri.

Menurut wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Cuba, Jose Moya, negara itu menghasilkan sendiri hampir 80 peratus vaksinnya.

Awal bulan ini, IFV menandatangani perjanjian dengan Institut Pasteur di Iran untuk menguji vaksin Sovereign 02 di negara itu. – AFP

Source Link