Berita

Vaksin Influenza SKYcellflu Quadrivalent, Vaxigrip Tetra Selamat Digunakan

96views

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan bahawa dua produk vaksin influenza iaitu Vaxigrip Tetra dan SKYCellflu Quadrivalent yang dihentikan sementara penggunaannya sebelum ini, boleh digunakan semula.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini berkata KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menjalankan penilaian risiko terperinci bagi kedua-dua jenama vaksin yang terlibat.

Katanya, penilaian berkenaan dijalankan berdasarkan informasi diterima daripada Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA), laporan keselamatan tempatan dan global serta badan regulatori antarabangsa lain.

“Sehingga 31 Okt, pihak KDCA mengesahkan bahawa kebarangkalian adalah sangat rendah untuk mengaitkan vaksin influenza sebagai punca kematian seperti yang dilaporkan (sebelum ini).

“Laporan siasatan bagi 72 kes daripada 83 kes kematian (11 kes masih dalam siasatan) tersebut menunjukkan bahawa, punca kematian adalah disebabkan oleh penyakit sedia ada dihidapi oleh individu berkenaan atau sebab lain tiada hubungkait dengan vaksin influenza yang diberikan,” katanya.

KKM pada 28 Okt lepas menasihatkan pengamal perubatan menghentikan sementara penggunaan dua produk vaksin influenza tersebut berikutan terdapat laporan kes kematian dikaitkan dengan produk berkenaan di Korea Selatan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihak KDCA juga mengesahkan tiada jenama, pengilang atau nombor kelompok vaksin tertentu yang boleh dikaitkan dengan kes-kes kematian yang berlaku.

Katanya, KKM juga telah menilai kualiti produk dan menyemak data laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) tempatan serta global, meliputi profil keselamatan bagi semua vaksin influenza, termasuk kedua-dua jenama vaksin tersebut.

Tambahnya, sejumlah 1.5 juta dos vaksin influenza dibawa masuk ke Malaysia sehingga Oktober 2020 dengan hasil penilaian kesemuanya termasuk kedua-dua jenama vaksin berkenaan mematuhi standard kualiti yang ditetapkan.

“Hasil semakan lanjut juga menunjukkan tiada kes kematian yang dilaporkan susulan pemberian mana-mana vaksin influenza di Malaysia. Kesan advers yang dilaporkan merupakan kesan advers yang biasa berlaku serta telah didokumentasikan,” katanya.

— BERNAMA

 

Source link