COVID19

Vaksin pelajar sekolah di Labuan bermula esok

LABUAN,  21 Sept  — Labuan akan memulakan proses suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar sekolah berusia 12 hingga 15 tahun bermula esok, menjelang pembukaan semula sesi persekolahan pada 4 Okt, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memberi persetujuan untuk wilayah persekutuan itu meneruskan rancangannya menawarkan vaksinasi kepada 5,563 pelajar sekolah.

“Kami akan memberi vaksin kepada pelajar sekolah bermula esok dan kami laksanakan seperti yang dirancang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata dua pusat pemberian vaksin (PPV) sedia ada iaitu Kompleks Darul Kifayah dan Kolej Matrikulasi Labuan digunakan bagi penampung pelajar dari 10 sekolah rendah, 17 sekolah menengah dan sekolah antarabangsa (Sekolah Antarabangsa Labuan), yang akan berlangsung selama lima hari dari 22-26 Sept.

“Pelajar ini akan menerima vaksin di dua PPV dari awal pagi hingga lewat petang…bagi yang berusia 13 hingga 15 tahun jadual vaksinasi mereka dari 22-24 Sept, manakala murid usia 12 tahun dari 25-26 Sept.

“Kami berharap mereka akan hadir mengikut jadual vaksinasi yang ditetapkan memandangkan sekolah akan dibuka semula tidak lama lagi,” katanya.

Dr Ismuni berkata remaja yang tidak bersekolah tidak akan ketinggalan dalam vaksinasi tersebut memandangkan jadual pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) ditetapkan dari 27-28 Sept membabitkan kira-kira 1,500 golongan remaja itu.

Beliau berkata Labuan telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia antara 16 dan 17 tahun pada 11 Sept lepas, dengan 2,467 daripada 2,593 remaja menerima dos pertama sehingga semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail mengingatkan ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka menerima vaksin, berikutan terdapat aduan ada ibu bapa yang enggan membawa anak mereka untuk divaksin.

“Kita tidak harus membiarkan anak-anak kita tanpa divaksin, jika tidak kita akan gagal menjalankan tugas mencapai imuniti kelompok dalam keluarga kita,” katanya.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button