info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Varian Baharu Britain Telah Merebak Ke 50 Negara – WHO

80views

GENEVA, 14 Jan — Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan telah mengadakan mesyuarat dengan 1,750 saintis antarabangsa untuk berbincang mengenai varian baharu COVID-19 yang dilihat telah merebak dengan pantas ke seluruh dunia.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan WHO, Ana Maria Henao Restrepo menyatakan bahawa adalah penting untuk badan dunia itu segera mengenal pasti dan mengkaji varian serta memahami kesannya agar usaha mengawal penyakit akan lebih efisyen.

Perbincangan itu adalah berikutan dengan penemuan varian baharu yang dikesan di Britan, didapati telah menjangkiti 50 negara, wilayah dan kawasan serata dunia.

Varian baharu 501Y.V2 yang muncul di Afrika Selatan pula sudah merebak ke 20 negara, wilayah dan kawasan serata dunia dan hasil siasatan awal mendapati varian baharu ini memiliki kebolehjangkitan lebih tinggi berbanding penularan sebelum ini.

Selain itu, Jepun juga telah memaklumkan bahawa ia telah mengesan satu lagi varian baharu COVID-19 pada 9 Januari lalu pada empat pengembara yang tiba dari Brazil membabitkan dua dewasa dan dua kanak-kanak.

WHO menjelaskan, kemunculan varian baharu sekali gus menunjukkan pentingnya untuk mempertingkat kapasiti diagnostik dan pengesanan virus itu secara sistematik.

Virus SARS-CoV-2, penyebab penyakit COVID-19, didapati berkecenderungan bermutasi apabila ia disebarkan dengan pantas.

Kadar jangkitan yang tinggi bermakna akan lebih banyak varian baharu dijangka akan muncul.

Walaupun varian baharu ini dilihat tidak menyebabkan penyakit COVID-19 menjadi semakin buruk, namun, kadar jangkitannya yang pantas menyebabkan tekanan kepada sistem rangkaian kesihatan.

Oleh itu, WHO berhasrat untuk terus menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti kesan varian baharu terhadap jangkitan, keparahan penyakit dan potensi impak ke atas vaksin, terapeutik serta diagnostik – AFP

Disunting Oleh Elyana Mohd Ahnuar