info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Vigneswaran Pertahan Jawatan Presiden MIC Tanpa Bertanding

93views

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Tan Sri S. A. Vigneswaran mempertahankan jawatannya selaku Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu bagi penggal 2021-2024 tanpa bertanding pada pemilihan parti kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC Tan Sri G. Rajoo mengumumkan keputusan itu selepas Vigneswaran muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada 1 tengah hari tadi.

Vigneswaran menerima sokongan 3,620 daripada 3,808 cawangan MIC di seluruh negara.

Pada pemilihan lepas, Vigneswaran menang jawatan itu juga tanpa ditandingi.

“Saya berterima kasih kepada seluruh warga MIC dan ketua-ketua cawangan kerana memberi sokongan kepada saya untuk memimpin parti bagi masa tiga tahun yang akan datang,” katanya selepas proses pencalonan itu di ibu pejabat MIC di sini.

Vigneswaran berkata MIC bukan berpihak kepada perjuangan perseorangan tetapi untuk rakyat khususnya kaum India.

Mengenai fokus utama MIC selepas ini pula, beliau berkata parti itu antaranya akan bertungkus-lumus memastikan undi kaum India di negara ini diberi perhatian terperinci selain memahami keperluan mereka.

“Untuk menarik pengundi kaum berketurunan India, buat masa sekarang ini, apa yang berlaku pada pilihan raya (PRU14) yang lepas ialah rakyat terpesong pada janji-janji. Yang kedua, memang kita ada kelemahan dalam parti dan juga kita tidak dapat menjawab tohmahan pada masa yang kecil (singkat).

“Kita telah membaiki masalah-masalah ini, kita dalam proses penubuhan sebuah war room yang besar… Ini adalah langkah-langkah yang kita ambil untuk memastikan undi-undi kaum India akan balik ke pangkuan MIC,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MIC belum memuktamadkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang akan ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya perkara itu akan dimuktamadkan menerusi perjumpaan dengan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan parti komponen lain dalam masa terdekat.

“Untuk mendapatkan kerusi baharu bukan masalah yang besar, masalah besar ialah kemenangan. Jika kita minta banyak kerusi tetapi tidak menang, tiada guna, baik kita minta apa yang kita boleh menang.

“Jangan pula kita mendabik dada bahawa kita dapat kerusi banyak tetapi akhirnya kita kalah. Maka bukan sahaja kita membazirkan masa, wang dan juga memberi ruang kepada orang menuding jari kepada kita bahawa perjuangan kita ini bukan berpihak kepada kemenangan parti tetapi hanya syok sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata satu jawatankuasa akan dibentuk bagi menentukan masa yang sesuai untuk pemilihan parti di peringkat bahagian, negeri serta pusat.

Katanya walaupun notis pemilihan sudah diserahkan, pemilihan hanya akan diadakan apabila suasana jangkitan COVID-19 bertambah baik. – BERNAMA