Berita

Waktu Operasi Sektor Ekonomi Dihadkan Dari Pagi Hingga 8 Malam

198views

Menurutnya, waktu operasi perniagaan juga akan dikurangkan mulai 8 pagi sehingga 8 malam sahaja, manakala perniagaan pasar malam bermula pada pukul 4 petang sehingga 8 malam dan kedai farmasi boleh beroperasi dari 8 pagi sehingga 10 malam.

Manakala waktu operasi perniagaan bagi pusat beli-belahkedai serbanekageraidobi dan stesen minyak (kecuali di lebuh raya) juga ditetapkan dari 8 pagi hingga 8 malam berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) lebih lanjut bagi semua sektor ekonomi akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” beliau berkata pada sidang media untuk memperincikan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat hari ini.

Ismail hari ini mengumumkan sekatan tambahan untuk mengetatkan SOP PKP 3.0 yang mana ia dibuat melalui dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah serta mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

Ia bertujuan mengurangkan pergerakan orang ramai sekali gus mengelak penularan lebih serius COVID-19.

Beliau memahami permintaan orang ramai yang mahu sekatan yang lebih menyeluruh diadakan kerana lonjakan dalam angka kes, namun sekiranya tindakan tersebut dilaksanakan, mereka yang bergantung kepada pendapatan harian seperti peniaga-peniaga kecil akan terkesan disebabkan punca pendapatan mereka tertutup sama sekali.

Untuk rekod, PKP 1.0 telah berjaya mengurangkan dengan ketara kes COVID-19 tetapi ia telah memberi impak yang mendalam terhadap ekonomi dan mengakibatkan kehilangan pekerjaan dengan anggaran kesan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara.

“Sekiranya kita mengenakan PKP penuh, bukan sahaja syarikat besar berdepan dengan cabaran untuk menutup syarikat mereka, ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan pekerja-pekerja kehilangan pekerjaan mereka,” beliau berkata.

Memahami seriusnya isu ini, kerajaan katanya,  telah mewujudkan Pasukan Khas yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneliti perkara yang melibatkan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan keputusan Sidang Khas MKN Pengurusan COVID-19 untuk mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan menambah sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Sementara itu, bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan, 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah yang melibatkan seramai hampir 750,000.

Selain itu, sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus.

Manakala 40 peratus lagi akan bekerja dari rumah dan ini melibatkan seramai hampir 6.1 juta pekerja di sektor ini.

Sebanyak 6,320 kes COVID-19 telah dilaporkan pada hari ini, menjadikan kes kumulatif negara kepada 505,115.

Lima puluh orang telah dilaporkan meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian kepada 2199.- BERNAMA

 

Source link