Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaWanita Hamil Ditembak : Polis Syak Bermotif Cemburu

Wanita Hamil Ditembak : Polis Syak Bermotif Cemburu

MACHANG, 6 Jun – Polis syak cemburu antara motif wanita yang sarat mengandung tujuh bulan mati ditembak di perut di Kampung Repek, petang semalam.

Mangsa, Emirah Mazlan, 26, yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun, sudah bercerai dengan suaminya sejak Februari lalu.

Tembakan ke perut mangsa turut menyebabkan bayi dalam kandungannya meninggal dunia.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.

Hingga kini pihaknya sudah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan dan suspek berkenaan ada hubungan dengan mangsa.

“Setakat ini macam-macam kemungkinan motif kejadian dan salah satunya adalah cemburu. Kita akan menyiasat secara menyeluruh, termasuk mengambil keterangan daripada saksi supaya apa yang kita jangkakan adalah benar.

“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi hingga siasatan polis selesai. Suspek yang ditahan kini direman lima hari bermula hari ini hingga Khamis untuk siasatan lanjut,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang di IPD Machang, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mangsa ditembak di lokasi kejadian penemuan mayat atau ditembak di lokasi lain.

“Ada dua kemungkinan, mungkin mangsa ditembak di tempat lain tetapi sempat memandu hingga sampai di lokasi kejadian atau mangsa sememangnya ditembak di lokasi berkenaan.

“Jarak rumah mangsa dengan lokasi kejadian adalah 15 kilometer sahaja. Berdasarkan percakapan ibu mangsa, wanita berkenaan keluar untuk mengurut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan pistol separa automatik .38 berdasarkan penemuan kelongsong peluru.

Terdahulu, wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek.

Mangsa berusia 26 tahun ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular