Berita

Wanita Sorok Mayat Bayi Didenda RM1500

Gambar Hiasan
111views

AYER KEROH, 18 Dis — Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Susulan itu, Majistret Mazana Sinin, menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lapan anak itu didakwa secara rahsia menyembunyikan kelahiran seorang bayi yang dilahirkannya, sama ada bayi itu mati sebelum atau selepas dilahirkan, selain dengan sengaja berusaha menyembunyikan kelahiran itu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Klebang Besar, di sini, jam 2.30 petang pada 27 Disember 2018.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian bapa tiri tertuduh masuk serta memeriksa biliknya lalu terjumpa satu beg berwarna ungu yang di dalamnya terdapat satu mayat bayi lelaki dan kemudiannya membuat laporan polis.

Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan tertuduh mempunyai bayi kecil berusia empat bulan, selain anak sulungnya baru sambung belajar.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fuad Ramlan, memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana perbuatan itu tidak berperikemanusiaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian.

Source Link