Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaWarga asing nikmati layanan hospitaliti Malaysia di Rumah Terbuka Aidilfitri

Warga asing nikmati layanan hospitaliti Malaysia di Rumah Terbuka Aidilfitri

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) — Sebuah keluarga dari Jepun merupakan antara mereka yang hadir awal ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, bagi mengalami suasana Aidilfitri Keluarga Malaysia di Kompleks Seri Perdana di sini.

Untuk bersama-sama meraikan musim perayaan, Hiro Hiyama dan anaknya hadir berbaju Melayu berwarna biru, manakala anaknya yang berusia sembilan tahun memakai pakaian tradisi Jepun, kimono berwarna hijau.

“Isteri saya mencadangkan kami untuk hadir ke rumah terbuka ini, di mana kami boleh bertemu ramai orang Malaysia di sini (Seri Perdana), termasuk pemimpin Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah terbuka itu di sini hari ini.

Hiyama, 39, yang telah tinggal di Malaysia sejak November 2021 turut bercakap mengenai hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang dikatakannya sebagai hubungan yang amat rapat dan kuat.

Majlis bertemakan ‘Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri’ itu, merupakan yang kali pertama dihoskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos 2021, dan juga Anggota Jemaah Menteri.

Majlis rumah terbuka dari 9.30 pagi sehingga 4 petang itu, berkonsepkan suasana kampung selain menghidangkan pelbagai juadah tradisi ala desa.

Sehingga tengah hari ini, lebih 30,000 tetamu telah menghadiri majlis rumah terbuka itu.

Karoline Johannessen Litand, warga Norway yang sedang menjalani latihan amali di Kedutaan Norway di Kuala Lumpur berkata beliau amat kagum dengan suasana dan hospitaliti yang baik di rumah terbuka itu.

“Saya terbaca mengenainya (rumah terbuka) di akhbar yang ia terbuka untuk semua. Saya rasa ini satu peluang untuk melihat lebih banyak lagi kebudayaan Malaysia,” kata wanita berusia 24 tahun yang amat mengemari nasi lemak bersambal pedas.

Bagi Mushtaq Ali, 45, budaya rumah terbuka adalah amat berbeza di Malaysia, di mana semua berkumpul di bawah satu bumbung dan menikmati kepelbagaian makanan Malaysia.

“Saya telah mencuba soto dan apam balik sebentar tadi, dan tentunya akan mencuba lebih banyak makanan sebelum saya pulang,” kata ahli perniagaan dari Bangladesh itu.

— BERNAMA

Bernama

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular