info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Kucing

93views

KOTA BHARU, 15 Okt — Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini, hari ini atas pertuduhan bertindak kejam terhadap seekor kucing Ogos lepas.

Tertuduh, Ab Hamid@Fauzi Ismail, 70, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, Ab Hamid@Fauzi didakwa menggunakan sepucuk pistol angin dan menembak ke arah kucing peliharaan milik jirannya, Nur Amalin Aishah Ariffin@Mukhtar sehingga menyebabkan kecederaan pada telinga kanan haiwan terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lorong Raja Abdullah, Jalan Pintu Gang, dekat sini, pada 17 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sharif Sabran yang menawarkan jaminan RM5,000 ke atas tertuduh, namun, Ab Hamid@Fauzi yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jaminan rendah kerana tidak bekerja dan sudah berusia.

Shahrul Rizal kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Nov ini.

— BERNAMA

Source link