info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

WHO Harap Laporan Rumusan Misi Mencari Asal Usul COVID-19 Diterbitkan Minggu Depan

41views

GENEVA, 13 Feb — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meneliti semua hipotesis mengenai asal usul pandemik COVID-19, susulan siasatan dijalankan di China oleh pakar daripada badan antarabangsa itu.

Setakat ini, misi pakar terbabit ke Wuhan di mana kes pertama COVID-19 dikesan, masih gagal mengenal pasti sumber virus berkenaan tetapi tidak cenderung kepada teori bahawa ia bocor dari sebuah makmal virologi di bandar berkenaan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pasukan itu telah melaksanakan ‘kerja saintifik yang sangat penting dalam keadaan amat sukar.’

“Timbul beberapa persoalan sama ada terdapat sebilangan hipotesis diketepikan. Selepas bercakap dengan beberapa ahli pasukan itu, saya ingin mengesahkan bahawa semua hipotesis tetap diteliti dan memerlukan analisis serta kajian lanjut.

“Sesetengah tugas itu berkemungkinan berada di luar bidang kuasa dan skop misi ini.

“Kami sentiasa menekankan bahawa misi itu tidak akan menemui semua jawapan, namun menambah maklumat penting yang membolehkan kita semakin memahami asal usul virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri ketua misi ke Wuhan itu, Peter Ben Embarek, di Geneva, semalam.

Tedros berkata, beliau berharap laporan rumusan daripada misi itu akan diterbitkan, minggu depan, disusuli laporan akhir yang penuh dalam masa beberapa minggu lagi.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan perkembangan global ketika ini yang menyaksikan jumlah kes baharu COVID-19 dilaporkan menurun untuk minggu keempat berturut-turut.

Beliau melihat keadaan memberangsangkan itu sebagai berkait dengan hasil pelaksanaan langkah kesihatan awam yang lebih ketat oleh negara serata dunia.

Namun, beliau segera memberi amaran bahawa ‘berasa puas hati (susulan perkembangan itu) adalah bahaya seperti virus itu sendiri.’

“Sekarang bukanlah masa untuk mana-mana negara melonggarkan langkah mengekang virus berkenaan, ataupun bagi mana-mana individu mula bersikap lalai,” katanya.

Tedros sekali gus menekankan kematian baharu akibat COVID-19 adalah lebih tragik ketika program vaksinasi mula dilancarkan.

“Mereka yang berpendapat bahawa mustahil untuk memvaksin seluruh dunia, adalah sangat silap,” katanya.

– AFP

Source Link