info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Perniagaan

Yakin Belanjawan 2021 Tidak Akan Dipolitikkan

77views

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Kementerian Kewangan yakin Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada Ahli Parlimen demi kemakmuran bersama.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini, beliau dan kakitangan kementerian berusaha dengan penuh komitmen serta dedikasi untuk menyediakan Belanjawan 2021.

“Belanjawan ini adalah komprehensif dan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Ia akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang digerakkan sejak Mei lalu serta menerusi kesemua pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Pprihatin.

“Saya yakin Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada ahli Yang Berhormat.

“Insya-Allah, moga unjuran pemulihan ekonomi dapat dicapai menjelang tahun depan. Mari kita bersama-sama berganding bahu demi Malaysia yang tercinta,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-27 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di laman Facebooknya, semalam.

Menurutnya, baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengingatkan semua untuk memberhentikan segala politicking yang menganggu kestabilan negara.

“Sebagai ahli Jemaah Menteri, saya menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Tuanku serta kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan terutama dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

“Seri Paduka Baginda juga menegaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah penting kepada rakyat bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 26 Oktober lalu, sejumlah RM3.6 bilion Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 disalurkan kepada lebih 7.32 juta penerima.

Ini merangkumi 6.27 juta penerima daripada kategori B40 dan 1.05 juta penerima daripada kategori M40.

Katanya, permohonan baharu bagi BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini dengan bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

Source link